Sofiya~~Ain Alsaba....

Ain Alsabaa " Treasure of the Eyes"... membawa segunung harapan.

"nakhnu du'atun qabla kulli syai'in" Kita adalah penyeru di jalan Allah sebelum menjadi apa pun.. insyaAllah kalimah ini akan seiring dengan "Ain Alsaba".

Dengan semangat kalimah ini, mudah-mudahan "Ain Alsaba" santun mendidik, menjadi ladang amal dan dan kebaikan kita bersama. Jika ada yang kurang berkenan, sofiya Mohon maaf yang sebesar-besarnya. Wallahu Waliyyut taufiq...

Allahumma inni as-aluka ridhaaka wal jannah. Ya Allah, aku mohon redhaMu dan syurgaMu. Amin..




ZIKRI



* Setiap kali ke Batu Pahat, pasti melalui pagar oren yang bertutup rapat di sebelah SMK Teknik BP. Pernah juga terdetik di hati mengenai tempat itu, lantaran papan tanda tempat itu tidak jelas tulisannya kerana tersorok di balik-balik daun pokok. Cuti semester lepas, Allah swt memberi kelapangan masa untuk pergi menjenguk insan-insan istimewa di balik pagar oren itu. Walaupun di gelar Orang Kurang Upaya, survival mereka untuk hidup sungguh mengharukan. Kagum aku dengan semangat juang untuk mereka terus hidup kerana ada sebilangan mereka yang hidup tanpa fizikal yang sempurna. MasyaALLAH..Allah mencipta mereka dengan penuh hikmah.


* Ilham datang lagi bila aku sempat berbual dengan insan-insan istimewa di sana..Selamat membaca "ZIKRI"

    ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


     Semua orang hairan dan tertanya-tanya. Selalunya di majlis-majlis seumpama ini, Zikri mesti ikut serta, mesti kelam kabut di dalam khemah atau jenguk ke gedohok tengok orang masak atau atur talam. Zikri mesti buat sibuk di atas balai masa orang marhaban atau berzanji.

     Tetapi hari ini zikri tidak ada, tidak kelihatan langsung kelibatnya. Minggu lepas dia ikut sibuk buat balai dan khemah. Cuma gelagat Zikri agak berlainan daripada selalu. Zikri tidak banyak melayan perbualan orang dengannya. Zikri lebih banyak mendiamkan diri. Cuma sekali-sekala dia berbual.

     " Ha, Kri bila nak kahwin? "

     " Kri mana boleh kahwin. Orang perempuan tak suka pada Kri. "

     " Kri busuk!"

     Zikri sekadar tersengih macam selalu. Gigi rongaknya jelas kelihatan. Dia tidak segera menjawab usikan itu.

     " Kri tak bolah kahwin. Tak ada orang perempuan mahu pada Kri "

     Pandangan Zikri seperti menikam tajam ke arah anak muda yang jauh lebih muda daripadanya sewaktu mereka berehat seketika.

     "A.....a....ada!" Zikri tercungap-cungap melawan gagapnya cuba memberitahu. "Dia..di..dia belum ha..ha..habis bela..belajar lagi."
 
     Semua orang ketawa mendengar jawapan Zikri. Pada mereka kata-kata Zikri tidak lebih daripada pengubat letih bekerja mendirikan balai dan khemah petang itu. Tetapi Zikri tetap mahu menyatakan isi hatinya, mahu supaya semua orang tahu.

     "Bi..bi..bila dia ba..ba..balik nan..nanti..ka..ka..kami akan ka..ka..kawin."

     Ketawa mereka semakin kuat. Masing-masing mempermain-mainkan Zikri. Selalunya begitulah, Zikri menjadi bahan ketawa dan usikan orang-orang kampung sahaja.

     Tetapi pada hari ini Zikri memang tidak kelihatan. Tiada siapa yang tahu ke mana dia pergi dan mengapa tidak hadir.

     "Nampak Kri tak?" Haji Salim bertanya seseorang di gedohok setelah tersedar Zikri tidak kelihatan di majlis kendurinya kali ini.

     "Tak nampak pun," sahut seseorang dari arah tempat berhidang lauk. "Masa mula-mula berhidang tadi pun tak ada."

     Zikri bukan orang penting, dia bukan tukang masak nasi atau tukang masak gulai. Tetapi lazimnya kehadiran Zikri pada majlis kenduri sedikit sebanyak ada juga gunanya selain menjadi pemecah kebosanan dan keletihan bekerja.

     Zikri rajin dan suka menolong buat itu dan ini. Zikri boleh angkat pinggan dan talam, angkut air buat basuh pinggan dan mangkuk. Malah bukan itu sahaja, lap lantai balai pun Zikri boleh lakukan. Asalkan kena caranya.

     "Masa berjamu tadi pun tak ada?" Haji Salim terus bertanya.

     "Tak ada." Balas orang lain dari arah tempat membasuh pinggan mangkuk.

     Waktu asar sampai ke penghujungnya. Para jemputan sudah tidak kelihatan lagi, cuma beberapa orang keluarga Haji Salim sahaja yang masih ada. Tukang masak nasi, tukang masak gulai, dan tukang hidang semuanya sudah pulang. Mentara yang bertugas mengankat makanan untuk tetamu juga sudah tidak kelihatan.

     Anak kancah dan kawah serta pinggan mangkuk semuanya sudah habis dibasuh bersih. Cerek serta gelas juga sudah disusun didalam bekas-bekas kayu dengan kemas. Semuanya sudah di simpan di atas para si gedohok. Majlis kenduri Haji Salim sudah selesai.

     "Ke mana agaknya si Zikri itu pergi." Rungut Haji Salim pada isterinya sebaik sahaja beberapa orang ahli keluarga jauh mereka beredar pulang.

     "Zikri tak datang?"
 
     "tak ada pun." Rasa kecewa terukir di wajah Haji Salim. Isterinya tidak bertanya apa-apa lagi selepas itu.

     Rupa-rupanya bukan Haji Salim seorang sahaja yang terperasan tentang ketiadaan Zikri. Orang kampung juga mula tertanya-tanya ke mana Zikri pergi. Selalunya jika ada majlis kenduri Zikri pasti ada. Zikri tidak peduli sama ada dijemput atau tidak.

     Di majlis kenduri biasanya Zikri turut berzanji atau marhaban bersama-sama jemputan khas. Suara sumbangnya kedengaran jelas melalui pembesar suara. Di pintu pagar Zikri akan sibuk menyambut tetamu seakan dialah tuan rumah yang menjemput.

     Masa makanan mahu dihidang, Zikri akan makan terlebih dahulu. Dia makan semahu-mahunya tanpa peduli orang lain. Selalunya Zikri makan berulang-ulang kali sampai termengah-mengah.

     Tetapi apabila diserang panyakitnya, Zikri akan terjatuh tiba-tiba. Dia menggelepar sambil mengeluarkan dengkuran yang cukup kuat. Mulutnya berbuih, lidahnya terjelir dan matanya terjegil. Masa itu kanak-kanak akan lari lintang pukang dan orang-orang dewasa cuba membantu. Namun, tidak banyak yang dapat di bantu melainkan bersimpati melihatkan dia berkeadaan begitu.

     Majlis kenduri terganggu dan para jemputan akan tertanya-tanya sesama sendiri. Tuan kenduri akan berasa sedikit beruntung jika Zikri tidak ada di dalam majlisnya. Namun seluruh kampung sudah tahu, Zikri pasti akan ada di tiap majlis yang di adakan . Sudah pasti tidak dapat dielakkan lagi.

     Sejak dua tahun emaknya meninggal dunia, hidup Zikri lebih tidak terurus. Makan minumnya bergantung kepada belas ihsan orang-orang kampung. Jika ada yang sudi hulurkan makanan, makanla dia. Jika tidak Zikri akan meminta pada siapa-siapa sahaja di kedai.

     Pondok peninggalan arwah emaknya kini lebih sesuai di jadikan kandang kambing sahaja. Bersepah dan tidak di jaga langsung. Lalang dan rumpai sudah menjolok lantai. Zikri tidak ambil kisah langsung. Tempat tidurnya cuma sehelai tikar mengkuang usang serta sebiji bantal yang terlalu hitam warnanya.

     Pakaian Zikri juga begitu. Selagi yang dipakainya masih belum terkoyak-rabak dia terus memakainya. Cuma apabila hari hampir raya, barulah dia bertukar pakaian.

     Waktu Zikri tiba di atas jambatan kayu usang yang merentangi anak sungai itu, matahari sudah condong jauh ke barat. Anak sungai itu kelihatan lesu dan kering akibat kemarau yang panjang tahun ini.

     Di sekitar jambatan itu terlalu sunyi. Sudah lama orang tidak menggunakan jalan itu setelah jalan dan jambatan baru siap di bina. Keadaan di tempat itu sudah menjadi belukar.

     Zikri terasa bagai ada yang memanggilnya ke situ. Entah mengapa Zikri yang kurang pintar itu tiba-tiba sahaja teruntun untuk ke situ. Di kawasan berhampiran jambatan itu dulunya terdiri rumah kelahirannya. Di situlah Zikri membesar dalam peliharaan dan asuhan kedua-dua orang tuanya. Ayah dan emaknya bekerja menoreh getah di kebun milik Haji Salim.

     Di situ jugalah ayahnya meninggal di pagut ular waktu ke sungai mengambil wuduk. Waktu itu Zikri baru berusia tiga tahun. Zikri terus membesar dalam keadaan yang terpisah daripada anak-anak yang sebaya dengannya.

     Lebih kurang lima tahun yang lalu dia dan emaknya dipindah ke rumah baru di dalam rancangan PPRT atas usaha Haji Salim.

    Sejak berpindah itulah Zikri tidak pernah datang lagi ke tempat itu . Zikri ingat sungguh-sungguh akan pesan emaknya bahawa tempat itu berbahaya.

     Dari atas jambatan usang itu Zikri memandang sayu ke pohon pokok pulasan tua dan sekitarnya yang dipenuhi belukar. Di bawah pokok pulasan itulah dia bermain sendirian setiap hari. Tiada orang yang mahu bermain dengannya kerana penyakit yang dihidapinya sejak berusia lapan tahun. Zikri diserang demam panas yang cukup kuat. Emaknya tidak mampu membawa ke klinik di pekan. Akibatnya Zikri menderita sawan gila babi hingga kini.

     Zikri masih ingat setiap dua minggu Haji Salim akan datang membayar upah kerja emaknya. Setiap kali Haji Salim datang hati Zikri cukup gembira kerana itulah peluang baginya bermain dengan anak Haji Salim.

     "Kita pergi main bawah pokok tu nak?"

     "J..j..jum."

     Dia akan berlari terlebih dahulu daripada anak Haji Salim ke bawah pokok itu. Kemudian, mereka bermain buaian yang di buat emaknya.

     "Nanti Kri besar Kri nak kerja apa?"

     Zikri cuma tersengih. Dia tidak tahu apa-apa. Baginya dia cukup bahagia dapat bermain dengan anak Haji Salim itu walaupun cuma dua kali sebulan. Dan jauh di susut hatinya dia mengharapkan dapat bermain dengan anak perempuan Haji Salim itu setiap hari.

     Tetapi tidak lama selepas itu Zikri terasa ada sesuatu yang menghalang persahabatannya. Tiba-tiba sahaja Haji Salim tidak lagi datang bersama-sama dengan anak perempuannya itu.

     "Da..da..datang so..so..sorang saja?" Zikri bertanya kepada Haji Salim.

     "Anak saya tu dah lulus peperiksaan dengan baik. Dia ditawarkan belajar di sekolah Tun Fatimah."

     Zikri cuma terlopong mendengar perbualan Haji Salim dan emaknya. Dia kurang faham kerana dia tidak pernah bersekolah oleh sebab penyakit yang dihidapinya.

     "Tentu Zikri rasa sunyi bang haji," rungut emaknya.

     "Lepas tamat belajar nanti, dia kan balik. Kri bolehlah main dengan dia lagi."

     Zikri cuma mengangguk.

     Malam sudah semakin larut, tetapi di halaman rumah Haji Salim masih kelihatan ramai orang sedang berbincang sesuatu. Nampaknya masing-masing dalam keadaan resah dan gelisah.

     "Kita tak boleh berlengah lagi."

     "Nak cari kat mana lagi? Semua tempat usdah kami cari. Tak jumpa pun."

    Masing-masing bertambah cemas. Bilangan mereka mula bertambah apabila beberapa orang tiba dengan motosikal. Suasana agak tegang.

     "Walau apa sekalipun, kita mesti cari sampai jumpa." Haji Salim bertegas.

     "Malam ini juga?" tiba-tiba Hajah Salmah, isteri Haji Salim mencelah. "Tak bolehkah di tunggu sampai esok, dah jauh malam sekarang."

     Hajah Salmah meletakkan kopi di atas meja di hadapan Haji Salim.

     "Tak boleh!" Haji Salim terus berkeras.

     Hajah Salmah terdiam. Kenal benar sikap suaminya. Sifat tegasnya tidak boleh dibantah, seperti zaman mudanya ketika dalam pasukan tentera.

    "Kita berpecah. Kasa ikut arah timur. Jusoh susur jalan barat sampai tumpu estet Kiang Bee. Aku akan ikut jalan ke baruh." Haji Salim memberi arahan seperti seorang jeneral memerintah anak buahnya.

    "Masing-masing patuh dan mula bergerak tanpa berlengah.

     Hindun berdiri dekat tingkap bilik pengantin waktu ayahnya naik ke rumah mengambil topi dan lampu picit. Dia juga kelihatan risau walaupun sebagai pengantin baru dia sepatutnya bergembira.

     "Ayah, jangan-jangan Kri ke tapak rumah lamanya," Hindun bersuara. Haji Salim tergamam seketika dan merenung tepat le muka anak bungsunya itu.

     Dalam gelap malm itu Haji Salim serta beberapa orang yang mengikutnya sampai di tebing sungai dekat jambatan kayu yang sudah uzur itu. Fikiran Haji Salim teringatkan kembali kata-kata arwah Leha, emak Zikri.

     "Saya harap pada abang haji dan Kak Salmah saja. Kalau apa-apa terjadi pada saya, abang haji peliharalah Zikri. Dia bukannya cerdik macam budak-budak lain."

     Dada Haji Salim terasa sebak mengenangkan arwah Leha dan Seman. Mereka pekerjanya yang cukup rajin walaupun cuma orang merantau di kampung ini dan tak punya saudara-mara. Zikr satu-satunya anak mereka. Tetapi nasib Zikri tak sebaik nasib budak lain.

     Dari atas jambatan usang itu lampu picit di tangan Haji Salim melilau menyuluh ke serata sudut. Suasana cukup sunyi dan dingin sekali. Tiba-tiba Haji Salim tersuluh sesuatu di atas jambatan itu. Sepasang kasut kelihatan tidak jauh dari tempat dia berdiri. Hatinya berdetak cemas.

     Kemungkinan demi kemungkinan menyerbu benak Haji Salim. Dia teringat lebih dua minggu yang lalu waktu lepas solat Jumaat di masjid. Seperti biasa, Zikri akan bersalaman dengannya. Tetapi, Jumaat itu kelihatan Zikri berbeza dari biasa.

     "Bi..bi..bila Hin..Hin..Hindun balik?" Terlalu payah Zikri meluahkan pertanyaan itu.

      Haji Salim benar-benar serba salah. Selalunya Zikri tidak pernah berbual apa-apa dengannya setiap kali bersalaman lepas solat. Namun, Haji Salim tidak dapat berdalih. Tidak mungkin di dalam masjid yanag mulia dia mahu membohongi zikri walaupun Zikri kurang siuman dan tidak cerdik.

     "Lusa Hindun balik," akhirnya Haji Salim memberi jawapan.

     "Di..di..dia hen..hen..hendak ka..kawin?" Zikri masih belum puas dengan jawapan Haji Salim barangkali.

     Haji Salim menjawab pertanyaan itu dengan mengangguk. Tangan Zikri yang bersalaman dengannya tiba-tiba terasa bagai direntap. Wajah Zikri juga berubah. Senyuman yang mahu di ukirnya bertukar serta-merta.

     Hindun memandang ke luar jendela bilik pengantin sambil berdoa agar Zikri selamat ditemui semula. Hati Hindun betul-betul diberkas keresahan.

     "A..a..aku su..suka de..dekat kau."

     "Kri tak sekolah. Hindun nak belajar sampai masuk universiti."

     "A..a..aku nak ka..ka..kawin dengan kau."

     "Tak boleh! Abah marah. Abah suruh Hindun belajar tinggi-tinggi. Lepas tu kerja besar. Mana boleh cakap pasal kawin. Eee..tak malulah Kri ni."

     Memang segalanya itu sudah lama berlalu. Zama itu sudah jauh ku tinggalkan, namun masih belum lekang dari ingatan Hindun. Dia tidak pasti sama ada kata-kata Zikri waktu itu benar-benar terbit dari hati sucinya atau cuma mainan mulutnya.

    Hindun memang tidak dapat mentafsirkannya, malah dia tidak terfikir untuk mentafsirkan kata-kata Zikri itu. Namun, dia tahu Zikri juga manusia yang memiliki hati dan perasaan meskipun tidak normal.

     Waktu Haji Salim dan orang-orang yang mengikutnya tiba di halaman rumahnya, jam sudah hampir empat pagi. Kasa dan Jusoh serta yang lainnya sedang menghirup kopi panas setelah letih mencari Zikri. Lebai Awang dan Penghulu Mohsin juga ada di bawah khemah kenduri yang masih terpasang di halaman.

     Langkah Haji Salim terlalu lemah. Di wajahnya tergantung kehibaan dan kekesalan yang tidak dapat difahami sesiapa. Peristiwa yang menimpa Zikri amat menghiris tangkai hatinya.

     Hindun yang masih di tingkap bilik pengantin segera memandang ke halaman. Dia nampak ayahnya sedang di tenteramkan oleh Lebai Awang, Penghulu Mohsin serta yang lain.

    "Jumpa?" Kasa bertanya sambil meletakkan cawan kopi.

     Hindun terdengar pertanyaan itu dan dia menanti jawapan dari ayahnya. Haji Salim mendongak dengan lemah ke arah anak perempuannya. Hati Hindun semakin cemas. Beberapa ketika Hindun melihat ayahnya menggeleng-gelang sambil melepaskan tangisan yang belum pernah dilihat Hindun sejak dahulu.

     Seperti disambar arus elektrik, perasaan Hindun tersentak. Hatinya direntap pilu dan hiba bukan kepalang. Harapannya turut berkecai.

     "Zikkkriiiiiiii!!!!"
    
     Serentak dengan jeritan itu bilik pengantin tiba-tiba cemas dan kelam kabut.

     







Cantik dimata siapa?







Masih terngiang-ngiang gelak ketawe adik2 di rumah. Macam baru semalam balik cuti, sedar tak sedar cuti dah habis, dan dah balik semula ke medan jihad. Lama sungguh tak update “ain alsaba” ni. Gagal mencuri masa atau salah percaturan masa? Hehehe :) sila jawab sendiri ye cik Sofiya.


Selain jadual kuliah yang makin padat semester ni, sempat juga bahagia menyelinap bila bertemu sahabat2 yang sefikrah. Alhamdulillah.. Banyak berita baik yang sampai ke telinga, ada yang baru mengikat tali pertunangan, ada yang risaukan persiapan walimah, dan ada yang menyambut kelahiran khalifah baru! Wow~!~~ :) tahniah untuk semua.


Bila masuk kuliah pula, memang sangat meriah dan ada juga yang mengejutkan. Ramai yang dah tukar fesyen, dan ada yang memang bertukar drastic. Apa dah jadi? Nak dijadikan sebab, rupanya beg yang berisi tudung terlupa nak di bawa balik kampus. Mmm.. Tegarnya memberi alasan sebegitu.


"Iman mempunyai 60 cabang. Malu adalah salah satu cabang iman."

Riwayat al-Bukhari



Malu merupakan fitrah yang dijadikan Allah swt dalam jiwa manusia seperti malu untuk membuka aurat. Ini berlaku sebelum fitrah itu terdedah kepada pencemaran. Menurut hasil usaha pula, malu itu terhasil dengan cara mempelajari berbagai adab dan akhlak yang dapat menghalang seorang muslimah daripada melakukan maksiat lantaran gerunkan Allah swt.

Menutup aurat bererti menutup bahagian tubuh yang tidak boleh diperlihat kepada orang lain. Seorang muslimah itu wajib menjaga batas diri, jangan sampai memperlihatkan auratnya kepada sesiapa pun yang tidak diizinkan syariat melihatnya, sehingga mendapatkan keredhaan Allah swt. Dan syurga itu adalah hak bagi orang-orang yang bertaqwa. Aminnn~~~

Tuntutan menutup aurat itu dianggap sesuatu yang menyusahkan. Ada juga yang menganggapnya sebagai penghalang kejayaan. Ramai orang merasakan  yang bertudung itu hanyalah sebagai aksesori dan hiasan diri untuk kelihatan lebih menarik. Macam kisah yang di atas tu, sistem tudungnya "on off".

Kadang-kadang menutup aurat itu hanya ditegaskan dengan tudung sahaja. Asalkan menutup kepala, sudah memadai. Pakaian yang dikenakan nipis, ketat. Ironinya, mereka hanya melindungi rambut dari pandangan umum, tetapi mendedahkan bahagian tubuh yang lain kepada orang ramai. boleh juga di katakan penyebab berlakunya perkara sebegini kerana terpengaruh dengan definisi "cantik moden" atau cantik dunia semasa hingga batasan syariat dilangkau.


Al Ahzab 33:59

Hai Nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak wanitamu, dan isteri isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka melabuhkan tudungnya ke seluruh tubuh mereka," yang demikian itu supaya merekalebih mudah untuk di kenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah swt adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 



Berhiaslah dengan kiblat Islam, bukan berkiblatkan Barat. Kita harus percaya bahawa penilai kecantikan itu berada di neraca Allah swt. Fashionable kah kita bila melanggar fitrah agama? Peringatan ini untuk semua dan diri sendiri. Wallahualam....










Warna Perhiasan Wanita



فِيهِنَّ خَيْرَاتٌ حِسَانٌ

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

حُورٌ مَّقْصُورَاتٌ فِي الْخِيَامِ

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ


Surah Ar-Rahman : 70-73
"Di dalam kedua-dua syurga itu juga terdapat bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik rupa parasnya. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu hendak dustakan? Yang sangat jelita matanya tetap di kedudukannya. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu hendak dustakan."


Alhamdulillah..Kertas Mandarin menjadi penamat perjuangan 3 minggu di medan peperiksaan. lalala :) Walaupun sibuk dengan peperiksaan, sempat juga melilau-lilau persekitaran bumi UMS.. Dan seorang adik menegur "Akak ni memang suke pakai pink ye?" Bila check almari, ish..memang banyak baju yang pink berbanding warna kegemaran..


Lepas beberapa hari adik yang lain pula datang menyapa " nak pegi jogging ye kak? pink nye baju..? tak kira tabarruj ke pakai warna menarik perhatian macam ni.." Alhamdullilah, sofiya masih mampu senyum lagi walaupun macam baru lepas kena smash.

Betulkah nilai ketaqwaan dan kewarakan seseorang itu dinilai dengan kesuraman warna? Kelabu, hitam, atau merah pudar misalnya..


Sahabat-sahabat yang di sayangi, Allah SWT telah menciptakan pelbagai ton warna untuk manfaat manusia. Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud dalam Sahih Muslim : 131

" Allah itu indah dan Allah sukakan keindahan"

Memandangkan warna-warna ini tidak digunkan oleh tumbuhan ataupun haiwan melata, semestinya kitalah yang akan menggunakannya dengan bertanggungjawab.


Warna itu diciptakan untuk kita hayati keunikannya. Untuk kita kaji keupayaannya dalam kehidupan. Untuk kita hargai dan syukuri kehadirannya di muka bumi ini. Apakah rasanya jika sejak dari zaman Nabi Adam AS hanya muncul dalam paparan warna hitam dan putih umpama sebahagian besar tayangan filem -filem Tan Sri P. Ramlee?


Seandainya kita mengenakan pakaian yang indah bukan niat menunjuk-nunjuk dan berlagak sombaong, maka ia tidak menjadi kesalahan buat si pemakai. Islam sudah cukup smepurna buat manusia. Ajaran menerusi kitab hadis dan setiap lembaran al-Quranul Karim sudah mencakupi segenap ruang lingkup hidup kita selaku khalifah. Manualnya telah diberi, kita hanya perlu ikutinya 100%. Mudah bukan?


" Kalau kamu suka dan berkenan, beli sahajalah. Pakailah warna yang kamu rasa sesuai. "


Jika kita selaku umat Islam sendiri menyempitkan ajaran Islam dan membuatnya sukar di mata orang, itu silap kita sendiri. Tak perlu dituding jari ke arah orang lain.


Sama juga halnya dengan perhiasan diri wanita seperti subang, gelang ataupun rantai leher. Sekiranya kita memakai perhiasan bukan dengan niat riak, pasti tidak salah. Namun janganlah kamu didik diri kamu dengan berhias melapaui batas. Sederhana adalah cara terbaik. Ia menurut syariat.


Fitrahnya seorang wanita memang menggemari barangan perhiasan. Namun, sofiya tetap yakin dan sedar, diri sendiri adalah perhiasan dunia. Apa perlunya dihias melampau-lampau? Apa yang ada, cuba sofiya nikmati sepenuhnya. Mengikut kadar kemampuan. Ukur baju di badan sendiri.


Marilah kita sama-sama berdoa agar kita tidak lalai dalam arus dunia. Suka mempamerkan keindahan tanpa batas, pemakaina melampau bagaikan barangan lambak yang murah lagi tidak laku, kemudian dijajakan di kebanyakan di kebanyakan tempat, dapat dilihat di merata-rata, tanpa nilai dan kehormatan nilai agama.


Bandingkanlah kedua-dua fenomena tersebut, dapatlah sofiya dan wanita muslimah-muslimah yang lain di seluruh dunia turut merasakan kitalah wanita yang paling bahagia, gembira dan terpilih.

 
wallahulam.. Sofiya hanya mencoret atas kefahaman dan pengertian peribadi.

 
Subhanallah, Maha Suci Allah.





buat sang bidadari dari timur...



ya Latiff.. ya Latiff.. ya Latiff...

Jadilah seperti pohon kurma, yang jauh dari kejelekan dan tinggi tak terjangkau oleh tangan-tangan yang jahat. Bila dilempar batu, ia menggugurkan buahnya yang sentiasa hijau, baik kala musim dingin, panas atau hujan. Banyak manfaatnya yang boleh di kongsi. Namun ia tidak mudah melatah.

Perhatikanlah wahai muslimah, bagaiamana sepohon epal yang rendang. Berbuah ranum. Kesemuanya berebut-rebut ingin cepat di petik orang. Malah banyak yang dengan sengajanya menjatuhkan diri sendiri ke tanah.

Namun epal yang terbaik dan yang paling ranum akan kekal di tangkai. Walaupun ada ketikanya ia risau tidak disunting mana-mana tangan manusia. Ia kekal di tempat yang sepatutnya ia berada. Hanya tangan yang bertuah yang akan mengambil yang terbaik.

Wahai muslimah, cubalah bertahan di landasan Islam. Jika kita yakin di landasan syariat yang betul, bertenanglah. Kita mampu tidur lena dengan iringan doa daripada semua buat kita. Malah bangun pagi kita akan disapa lantunan pujian buat kita. Itulah pentingnya memasang niat yang baik pada diri sendiri. Dan untuk orang lain.

Niat yang tulus suci untuk mendirikan masjid dan menyebarkan cinta dengan cara yang halal akan menebarkan rahmat.

Dan kudusnya cinta bukan pada rupa paras si pasangan. Murninya cinta bukan pada nilai harga mas kahwin dan hantaran. Tetapi kudusnya cinta itu tersimpan di kalbu nan murni yang pasti tidak bisa di letakkan nilainya dengan ringgit M dan rupa paras.

Cinta adalah abstrak tanpa batasan. Bagi suami, lembutnya peri laku mereka penting dengan indahnya akhlak seornag wanita. Dan wanita itu sendiri, lembut hati dan sikap ambil berat keibuan itu mampu menambahkan lagi nilai kecantikannya di mata suami, anak-anak, keluarga mertua dan jiran tetangga.

Sahabat - sahabatku.. Sabarlah dalam meniti perjalanan hidup ini, akan ada tangan yang bertuah memetik kalian. Janganlah kalian terburu2 menjatuhkan diri ke lantai bumi.

Cinta yang terbaik adalah cinta sepasang pengantin yang di redhai Tuhan dan di doakan ribuan malaikat yang menghuni langit. Sungguh tidak akan ada paduan kasih sayang yang lebih indah daripada pernikahan, demikian sabda baginda Nabi.

Ya, sesungguhnya Sofiya mempercayainya!

bila "Sofiya" menulis

Sabda Rasullah SAW...
"Para pengasih akan dikasihi oleh yang Maha Pengasih. Kasihanilah yang di bumi maka yang dilangit akan mengasihimu."

Alhamdulillah, usaha mangaktifkan blog ini semula di perkenankan yang Maha Esa. Dengan keizinanNya, blog ini akan bertema kan kisah2 pendek, pemerhatian dari pergerakan makhluk sekeliling sofiya, bertemakan konsep yang agak selambe, tanpa apa2 format dan xlupe "sentimental" bukannye "sentimentel".. :P

Hasil penulisan "sofiya" ini hanyalah di angkat semata-mata untuk di jadikan kaedah berhelah demi menyampaikan asuhan, insyaALLAH cuba seberapa yang terdaya dan jujur untuk mendidik dan memimpin. Cita-cita"sofiya" yang bermaksud untuk memupuk ketertiban adab demi menyemai nilai cinta dan budi yang kebih agung kepada Zat yang Lebih Abadi.

Mudah mudahan semua ini dapat menghidangkan kiasan, tamsil dan ibarat dalam plot dan lakaran cinta yang sejujurnya lalu memunggah hidangan lazat untuk bekalan rohani . Bekalan yang seterusnya menjadi penterjemah bagi segaris panduan lurus untuk masa depan.

" di sana sahabat, cinta ada di sana. Ia kudus kekal abadi.."

Doakanlah aku.."sofiya" agar santun memimpin dalam coretan "bila Sofiya menulis".. Biarlah ia istiqamah dengan sifat senyum mengasihi kerana ingin mengasuh resam peribadi. Bagaikan tempias hujan yang lembut, hanya hati yang hidup sajalah yang basah merasai.

Ya Latif... Ya Latif.... Ya Latif..

"literature as art of writing is something that will be read twice"